Sado – Seni Teh

Sado – Seni Teh

Update: 30 Ogos 2017

Sado secara literalnya membawa maksud “Menyelami diri di dalam ilmu ataupun seni teh” yang melingkupi dari mulanya si pembuat teh masuk ke dalam bilik sehinggalah cawan teh tadi dipulangkan semula kepada si pembuat. Sado yang juga digelar sebagai Cha no Yu merupakan satu tradisi yang cukup penting dan popular di Jepun. Setiap gerak geri yang mempunyai maksud dan senantiasa dalam keadaan seimbang dan harmoni menjadikan Seni Teh ini bukanlah suatu perkara yang boleh dikuasai melalui jangka masa yang pendek.

Sejarah Sado

Sejarah Sado

Sejarah Sado boleh dikesan kembali sehingga seawal abad ke 9. Sejarah berkenaan Sado ada tercatat di dalam teks sejarah Jepun yang penting iaitu Nihon Koki, berkenaan Eichu iaitu seorang sami Buddha yang telah menyediakan sencha kepada maharaja Jepun yang kemudiannya berkembang menjadi Sado melalui tempoh selama 700 tahun. Seni Teh ini berasal dari China yang kemudiannya melalui suatu proses evolusi menjadikannya salah satu dari budaya tradisional Jepun yang mempunyai aliran, gaya dan upacaranya yang tersendiri dan cukup unik. Pada abad ke-16 Sado telah menerima pengaruh yang cukup besar dari aspek jiwa ataupun soul Sado itu sendiri. Sehingga ke hari ni, pengaruh Zen masih lagi dapat dilihat di dalam Seni Teh itu sendiri. Walaupun Sado bermula dari sencha, matcha(teh hijau) telah menjadi teh utama pada masa kini.

Ideologi Teh

Ideologi Teh

Melalui upacara penyediaan teh – Sado, dapat kita perhatikan satu falsafah ataupun idea berkenaan “kecantikan di dalam kesementaraan” atau dalam bahasa Jepunnya disebut sebagai wabisabi dan ianya masih dapat dilihat sehingga ke hari ini. Sado tidaklah semata-mata bermaksud utnuk menyediakan teh, akan tetapi ianya terletak kepada keupayaan mental seseorang untuk memahami makna wabisabi melalui perbuatan menyediakan teh itu sendiri. Melalui falsafah ini, kesemua alatan yang digunakan di dalam upacara Sado adalah sengaja dibiarkan ringkas dan mudah tanpa terlalu banyak perhiasan. Adakalanya, alatan yang digunakan mempunyai bentuk tidak sama rata mahupun sedikit kemek untuk mengingatkan bahawa kecantikan itu sendiri boleh dilihat di dalam ketidaksamarataan. Dengan menerima idea ini, pembuat teh akan menghormati maksud disebalik falsafah tersebut dan akan cuba menghasilkan teh sedaya upaya dalam keadaan tenang secara zahir dan batinnya.

Peralatan Sado

Peralatan Sado

Berikut adalah peralatan yang digunakan semasa upacara penyediaan teh.

Fukusa – kain sutera 2 lapis yang digunakan untuk membersihkan peralatan Sado
Kaishi – Kertas Jepun kecil yang digunakan sebagai alas menggantikan pinggan semasa kuih dihidangkan. Ia juga digunakan untuk membersihkan jari yang digunakan untuk mengelap di bahagian mangkuk digunakan ketika meminum teh. Sebalik, ia digunakan secara terus untuk membersihkan bahagian mangkuk sekiranya Koi Cha(teh pekat) disediakan.
Chakin – kain basah kecil berbentuk segi empat yang digunakan untuk membersihkan bahagian dalam mangkuk
Natsume – Bekas kecil untuk menyimpan serbuk teh hijau ringan.
Cha-ire – Bekas porcelain yang digunakan untuk menyimpan serbuk teh kuat.
Chashaku – Sudu kecil yang digunakan untuk mengambil serbuk teh dari bekas teh ke dalam mangkuk. Dihasilkan dari pokok buluh.
Chasen – Digunakan untuk membancuh teh
Chawan – Mangkuk yang digunakan untuk menhidangkan teh. Saiz dan bentuknya berbeza mengikut musim.
Hishaku – Sejenis alat menyerupai senduk yang digunakan untuk mengambil air panas untuk dituang ke dalam mangkuk. Juga dibuat dari buluh. Sama seperti Chawan, saiznya berbeza mengikut musim.
Chagama – Pot yang digunakan untuk menjerang air.

Turutan untuk membuat teh

Turutan untuk membuat teh

Setiap aliran Sado mempunya gayanya yang tersendiri. Temae bermaksud keseluruhan perbuatan yang dilakukan di dalam upacara penuh penyediaan teh. Berikut adalah perbuatan am di dalam upacara penyediaan teh yang tidak mengikut mana-mana aliran mahupun musim.

1.Menceduk serbuk teh dari bekas teh ke dalam mangkuk mengunakan chashaku
2.Dengan menggunakan hishaku, air panas diceduk dan dituang ke dalam mangkuk
3.Membancuh teh menggunakan chasen
4.Sekiranya anda adalah tetamu, tunduk sedikit dan kemudiannya mengambil mangkuk teh dengan tangan kanan dan meletakkannya ke atas tapak tangan kiri.
5.Pusingkan mangkuk mengikut arah jam sebanyak 3 kali
6.Selepas habis meminum teh tersebut, lap dengan jari di bahagian mangkuk yang bersentuhan dengan mulut dan pusingkan ia kembali melawan arah jam sebanyak 3 kali. Setelah itu, mangkuk tadi dikembalikan semula kepada si pembuat teh.

Melengkapi Upacara Penyediaan Teh

Selain dari turutan upcara penyediaan teh, juga terdapat beberapa aspek atau perkara yang memainkan peranan penting dalam melengkapi satu upacara penyediaan teh.

Bilik Penyediaan Teh – Upcara ini tidak boleh dijalankan di mana-mana sahaja. Ia mestilah dilakukan di dalam bilik yang bertikarkan tatami. Posisi tikar tersebut menentukan kedudukan si pembuat teh dan juga tetamu.
Pakaian – Bagi menghormati upacara tersebut, pakaian formal adalah harus. Hos kebiasaannya akan mengenakan kimono, tetapi mengikut situasi upacara, tetamu juga kadangnya dibenarkan untuk memakai sut.
Skrol tergantung – Skrol ini boleh dilihat tergantung dibahagian bilik yang disebut tokonoma.
Hanaire – Pasu yang digunakan untuk menghias bunga. Terletak di tokonoma dan kebiasaannya, hanya satu kuntum bunga sahaja digunakan sebagai perhiasan.
Hidangan makanan – Kudapan ringan yang menggunakan bahan segar mengikut musim. Bahan yang digunakan mestilah dapat memberikan rasa suasana tersebut.

Mendalami ilmu Sado

Upacara penyediaan teh ini bukanlah sesuatu yang boleh dipelajari dengan senang. Memahami dan menuruti turutan sewaktu penyediaan teh juga adalah satu perkara yang asas dan penting tetapi ia juga memerlukan satu tahap minda yang boleh memahami setiap maksud dan perlakuan dan pemahaman terhadap falsafah wabisabi di dalam Sado dan adalah satu perkara yang cukup berbeza dan sukar untuk dicapai. Kebiasaannya, pelajar akan belajar dari pelajar yang lebih senior yang telah menerima ajaran dari guru Sado itu sendiri. Untuk mendalami Sado, anda perlu memilih aliran dan aliran-aliran ini boleh didapati di kelas-kelas mahupun persatuan Sado. Di sekolah-sekolah di Jepun juga terdapat aktiviti kelab yang khusus untuk mendalami ilmu Sado.

*Maklumat semasa artikel ditulis

Kongsi artikel ini