
Walaupun semakin mudah untuk menikmati pelbagai makanan daripada pelbagai negara di Jepun, makanan Rusia dikatakan masih tidak berkembang secara meluas. Namun begitu, pertembungan antara makanan Rusia dan Jepun masih boleh ditemui kerana terdapat kedai makanan Rusia yang terkenal di sini di samping menu makanan Rusia yang boleh disediakan di rumah.
Sejarah makanan Rusia di Jepun

Sejarah kemasukan makanan Rusia ke Jepun bermula dengan pembukaan sebuah kedai makanan Rusia pada tahun 1951 yang masih beroperasi sehingga kini. Selepas itu, ia mula berkembang meluas sama seperti makanan Sepanyol dan Itali dengan satu menunya iaitu "stroganoff daging". Walaupun tidak mengalami ledakan yang besar, ia mulai dinikmati oleh kebanyakan penduduk Jepun sejak tahun 1990-an. Selain itu, arak "vodka" yang banyak digunakan dalam masakan Rusia juga disukai sepanjang masa oleh masyarakat Jepun sebagai bahan asas koktel. Vodka boleh diminum secara terus namun kebanyakan orang Jepun lebih menggemari vodka yang telah dicampurkan dengan jus.
Stroganoff daging

Bagi orang Jepun, makanan Rusia yang paling hampir dengan mereka adalah stroganoff daging. Terdapat pes dalam bentuk kiub yang dijual di pasar raya dan ini memudahkan penyediaan masakan ini di rumah. Stroganoff daging merupakan daging lembu dan bawang yang digoreng dan dimasak bersama-sama dengan sos yang mengandungi krim masam. Di Jepun, kebanyakan kedai menggantikan sos masam tersebut dengan krim segar.
Borscht

"Borscht" merupakan sejenis makanan berkuah yang terhasil daripada rebusan sayur-sayuran seperti tumbuhan berakar iaitu ubi bit merah, bawang dan daging lembu. Ia merupakan makanan yang berasal dari Ukraine tetapi di Jepun, ia lebih dikenali sebagai makanan Rusia. Ia merupakan salah satu menu yang mesti ada di kedai makanan Rusia di Jepun. Walaupun ia bukanlah makanan harian, namun begitu ia juga terkenal di Jepun kerana resepinya boleh didapati di laman web menjadikan ianya mudah disediakan di rumah dan merupakan antara menu di izakaya (kedai minum Jepun).
Makan di Jepun

Kedai makanan Rusia tidak terdapat dengan banyak di Jepun. Oleh itu, sila cari maklumat tentangnya terlebih dahulu jika anda ingin mengunjungi kedai makanan Rusia semasa berada Jepun. Kebanyakan kedai makanan Rusia terletak di kawasan Tokyo. Di Ginza, terdapat sebuah kedai makanan Rusia yang pertama di Jepun dan amat terkenal. Selain itu, terdapat juga sebuah kedai makanan Rusia yang menawarkan pelbagai jenis vodka di Shinjuku. Di samping itu, terdapat juga kedai makanan Rusia yang diusahakan oleh orang Rusia sendiri di kawasan geografi yang berhampiran dengan negara Rusia seperti di Hokkaido.
*Prices and options mentioned are subject to change.
*Unless stated otherwise, all prices include tax.