HOME Shinbashi Seharian di kedai dan bar "pacuan empat roda mini"
HOME Kichijoji Seharian di kedai dan bar "pacuan empat roda mini"
Seharian di kedai dan bar "pacuan empat roda mini"

Seharian di kedai dan bar "pacuan empat roda mini"

Update:

Khabarnya topik yang hangat diperkatakan pada masa kini ialah berkaitan model kereta plastik "pacuan empat roda mini". Era kegemilangan pacuan empat roda mini di Jepun adalah pada akhir tahun 80-an dan 90-an. Tetapi jelas terbukti bahawa ianya lebih menarik minat di kalangan orang dewasa.

Jika bercakap tentang pacuan empat roda mini, semestinya Tamiya

Jika bercakap tentang pacuan empat roda mini, semestinya Tamiya

Pengeluar pacuan empat roda mini iaitu Tamiya mempunyai kedai rasmi iaitu "Tamiya Plamodel Factory" yang terletak di Shinbashi. Kedai berskala besar ini menjual kesemua produk Tamiya (6,000 unit), termasuklah pacuan empat roda mini. Sekiranya anda ingin mencari pacuan empat roda mini, maka di sinilah tempatnya.

Walaupun terdapat juga pengunjung daripada kalangan kanak-kanak, tetapi kebanyakannya adalah daripada golongan dewasa dalam lingkungan 30 hingga 40-an. Kedai yang amat luas ini terdiri daripada 3 tingkat iaitu tingkat 1, tingkat 2 dan tingkat bawah tanah. Tingkat 1 menjual pelbagai peralatan dan model berskala seperti kereta, kapal, serta kereta kebal. Tingkat 2 pula adalah ruangan serba guna "Modelers Square", yang membolehkan pengunjung memasang model yang dibeli serta berlumba di trek besar perlumbaan pacuan empat roda mini yang disediakan. Pacuan empat roda mini pula dijual di tingkat bawah tanah.

Rak dinding penuh dimuatkan dengan kotak-kotak barangan. Dikatakan terdapat lebih 100 jenis model kereta dijual di sini! Apabila ditanya berkaitan pacuan empat roda mini pada masa kini, staf di sini menyatakan bahawa asas binaan model terkini tidak banyak berubah berbanding dengan model lama. Ini memudahkan mereka yang pernah bermain suatu ketika dahulu untuk memulakan kembali minat tersebut. Rak bersebelahan dengan rak badan kereta pula dipenuhi dengan komponen penalaan seperti motor dan roda.

Mari membina pacuan empat roda mini!

Mari membina pacuan empat roda mini!

Kemudahan "Modelers Square" hanya boleh digunakan oleh pengunjung yang mempunyai pasport (sah selama setahun) yang dikeluarkan dengan setiap pembelian berjumlah melebihi 3,000 JPY. Selain itu, bagi pembelian melebihi 1,000 JPY, pengunjung juga dibenarkan menggunakan kemudahan ini tetapi pada hari tersebut sahaja. Apa yang lebih mengejutkan adalah pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah rendah serta pengunjung wanita tidak memerlukan pasport untuk menggunakan kemudahan ini. Terdapat 60 buah meja dan kerusi disediakan dan ruangan ini boleh digunakan sehingga tamat waktu perniagaan.

"Nipper" (penyepit) adalah salah satu alat yang amat diperlukan untuk menghasilkan binaan model plastik yang kemas dan cantik. Malangnya "Tamiya Plamodel Factory" tidak menyediakan servis pinjaman alatan tajam. Oleh itu, pengunjung hendaklah membawa sendiri alat ini dari rumah ataupun boleh membelinya di ruang peralatan di tingkat 1.

Siap dipasang dalam masa satu jam. Pacuan empat roda mini ini kebiasaannya boleh mencecah kelajuan sehingga 20 km/j.

Tambah kelajuan dengan pengubahsuaian!!

Tambah kelajuan dengan pengubahsuaian!!

Peringkat seterusnya selepas siap dibina adalah keseronokan sebenar dalam pacuan empat roda mini iaitu "pengubahsuaian". Saya telah mendapatkan pandangan staf di sini. Apabila saya menyatakan mahu "kereta yang sangat laju!", staf di sini memberitahu bahawa ianya akan menyebabkan model senang terbabas daripada landasan. Apa yang penting adalah keseimbangan model dengan landasan. Kepantasan sahaja tidak dapat menjamin kemenangan dalam perlumbaan.

Jika diperhatikan anda akan menyedari bahawa terdapat komponen tambahan di bahagian hadapan dan belakang model ini. Set ini dipanggil "First Try Part Set" (set komponen percubaan pertama). Komponen ini bertujuan untuk menyokong model yang mudah condong akibat daya emparan ketika melakukan pusingan. Di bahagian dalam model yang pula terdapat beberapa komponen telah ditukar seperti motor berkelajuan tinggi "Torque Tune 2 Motor" dan gear berdaya tahan tinggi "Carbon Hardening Gear".

Menakjubkan! Walaupun tidak dapat ditunjukkan melalui gambar namun kelajuan model saya memang telah bertambah. Malah, ianya tidak terbabas daripada landasan. Pacuan empat roda mini ini memang sangat menarik seperti yang diperkatakan.

  • Tamiya Puramoderu Fakutorii Shimbashiten
    タミヤ プラモデルファクトリー 新橋店
    • Address No.6 Toyokaiji Building 4-7-2 Shimbashi, Minato-ku, Tokyo 105-0004

Jika tidak puas bermain, singgahlah pula di bar pacuan empat roda mini

Jika tidak puas bermain, singgahlah pula di bar pacuan empat roda mini

Berpandukan kepada peta, saya menuju ke bar pacuan empat roda mini "Hideaway Garage" yang terletak di Koenji. Ianya merupakan bangunan tiga tingkat yang terletak di persimpangan jalan. Walaupun belum sempat melihat papan tanda bar ini namun saya pasti inilah tempatnya memandangkan "pacuan empat roda mini" ada tertulis di bahagian tingkap.

Di dalam bar ini kelihatan pengunjung yang membina model bersama kawan-kawan serta pekerja pejabat bersendirian sedang mengubahsuai modelnya.
Kedai ini mengamalkan sistem minum dan berlumba sepuasnya selama 2 jam dengan kadar bayaran sebanyak 2,000 JPY (termasuk cukai). Selain itu, pelanggan dibenarkan membawa masuk apa jua barangan ke sini. Bukan sahaja barangan seperti model, malah bento (bekalan makan) atau sake (arak beras Jepun) yang dijual di Lawson (kedai serbaguna) yang terletak bertentangan dengan bar ini juga boleh dibawa masuk. Bar ini juga menjual pelbagai pacuan empat roda mini. Kelihatan di dinding itu adalah merupakan stok barangan. Memandangkan peralatan-peralatan yang diperlukan boleh dipinjamkan secara percuma, tiada masalah untuk anda datang ke sini dengan tangan kosong.

Saya telah meminta pendapat Tetsuka-san, pelayan bar yang arif tentang pacuan empat roda mini, berkaitan model tersebut. "Model ini mudah untuk dikendalikan oleh orang baru. Tetapi, lebih baik sekiranya bahagian "roller" ditukar kepada jenis "bearing" supaya geseran dapat dikurangkan". Sememangnya seorang pakar. Sudut pandangannya berbeza. Sedang Tetsuka-san mengajar saya tentang pacuan empat roda, pelanggan lain turut kumpul bersama untuk mendengar.

Melalui perbualan dengan pelanggan-pelanggan di situ, barulah saya mengetahui bahawa mereka yang berada di sekeliling saya akan menyertai pertandingan rasmi Tamiya "Japan Cup" pada keesokan harinya. Mereka memberitahu akan bergerak ke Osaka yang juga merupakan lokasi pertandingan dengan menaiki kereta selepas selesai urusan di bar itu. Saya tidak menyangka akan bertembung dengan orang-orang yang hebat di sini. Saya telah ditunjukkan dengan beberapa model yang mana tahapnya jauh berbeza. Walaupun pada asalnya mereka mempunyai latar belakang pekerjaan yang berbeza dan tidak mengenali antara satu sama lain, mereka telah berkenalan melalui pacuan empat roda mini, malah bersama-sama menyertai pertandingan tersebut. Menurut Tetsuka-san, "Mereka mudah menjadi kawan kerana meminati benda yang sama".

Saya sangkakan bahawa pacuan empat roda mini ini dapat dilajukan dengan hanya menambah beberapa komponen, tetapi sangkaan saya ternyata salah. Perkara terperinci seperti imbangan dan geseran perlu juga diambil kira. Memang seronok untuk membina dan mengubahsuai model seperti yang diidamkan, tetapi disyorkan juga untuk anda mencuba kebolehan sendiri dengan berlumba di litar. Sangat mudah bagi anda untuk mencari pasangan lumba di tempat-tempat peminat pacuan empat roda mini berkumpul seperti ini.

  • Hideaway Garage
    Hideaway Garage
    • Address 3F Toyooka Bldg, 4-5-3, Koenjiminami, Suginami-ku, Tokyo, 166-0003
*Maklumat semasa artikel ditulis

Kongsi artikel ini