HOME Kawasan Sekitar Tokyo Seni bina Tokyo yang terlampau unik "MITAKA Tenmei Hanten Jutaku" (Reversible Destiny Lofts MITAKA)
Seni bina Tokyo yang terlampau unik "MITAKA Tenmei Hanten Jutaku" (Reversible Destiny Lofts MITAKA)

Seni bina Tokyo yang terlampau unik "MITAKA Tenmei Hanten Jutaku" (Reversible Destiny Lofts MITAKA)

Update: 19 Oktober 2016

Memperkenalkan "Reversible Destiny Lofts MITAKA - In Memory of Helen Keller -", sebuah bangunan seni dengan reka bentuk yang kreatif di Mitaka, Tokyo, yang pasti akan membuatkan anda sangat kagum sehingga boleh membuatkan anda terfikir fikir "ini bangunan apa!?" apabila melihatnya di tengah bandar.

Bangunan berseni dengan corak warna penuh keunikan yang anda boleh lawati

Bangunan berseni dengan corak warna penuh keunikan yang anda boleh lawati

Apabila anda berjalan di suatu lokasi yang menghadap sebuah jalan yang agak sibuk, di mana ia terletak kira-kira 10-15 minit menaiki bas atau teksi dari stesen JR Musashi-Sakai ,sambil berteka-teki di fikiran tentang kebenaran wujudnya bangunan pelik sebegitu, lantas tersergam sebuah bangunan pelik yang kelihatan bongkah kiub dan sfera menimbuni satu sama lain seperti permainan blok. "Reversible Destiny Lofts MITAKA - In Memory of Helen Keller -" adalah sebuah kondominium dengan timbunan tidak teratur, kediaman beraneka warna seperti kuning dan jingga, hijau dan biru, dan sebagainya. Mempunyai 9 buah bilik dalam 3 blok bangunan, di mana terdapat juga bilik yang betul-betul berpenghuni. Lawatan ke bilik diadakan 1-2 kali setiap bulan dengan menggunakan bilik yang tiada penghuni.

Kesemua tempat berwarna-warni, bermula dengan lif, koridor, beranda dan di mana-mana sahaja. Sudah tentu anda tidak pernah melihat bangunan yang sebegini rupanya. "Reversible Destiny Lofts MITAKA" adalah bangunan kondominium yang juga merupakan hasil seni, dibina pada tahun 2005 dengan kerjasama di antara seorang artis/arkitek Shusaku Arakawa dan Madeline GINS. "Tenmei wo hantensaseru" yang bermaksud menterbalikkan jangka hayat, ia cuba mempamerkan tema sepanjang hayat bagi Shusaku Arakawa, iaitu "tidak akan mati". Hasil kerja seni yang boleh dilawati ini terdapat di 3 lokasi dalam Jepun, namun bangunan di sini merupakan satu-satunya yang dijadikan supaya boleh dihuni.

Bilik yang telah kami lawati adalah bilik jenis 2LDK (living/dining/kitchen). Di sini terdapat 2 jenis bilik iaitu 3LDK yang berkeluasan lebih kurang 60 meter persegi, dan 2LDK berkeluasan lebih kurang 52 meter persegi. Keluasan ini sudah cukup memadai bagi mereka yang berkeinginan untuk menetap secara 2 orang. Sebaik sahaja memasuki bilik, dinding dan lantai, siling dan bahagian-bahagian lain dipenuhi dengan perkara-perkara yang sangat menarik, sehingga pening kepala untuk melihat yang mana satu terlebih dahulu!

Pertama, pelan bilik berbentuk bulat! Di dalam bilik yang bulat, terdapat 3 bilik kecil yang berbentuk sfera, separuh sfera dan berbentuk kubus. Di dalam bilik kecil berbentuk separuh sfera terdapat ruang untuk membasuh muka dan bilik mandi, selain daripada tandas tanpa pintu yang terletak di bahagian hujung ke dalam.

Seterusnya, jika anda melihat pada lantai, anda akan perasan bahawa lantainya adalah tidak rata penuh dengan timbulan. Ya, ia bukanlah mainan perasaan anda, tetapi timbulan tersebut telah dihasilkan dengan sengaja di lantai yang diperbuat daripada mortar (campuran bahan binaan) dan bahan semulajadi. Oleh kerana permukaannya yang cerun di sana-sini, ia agak sukar juga untuk berjalan dengan tidak terjatuh. Ia menjadi hasrat utama Shusaku Arakawa dan Madeline GINS bagi membolehkan anda menikmati sepenuhnya perasaan berjalan dengan merasai timbulan lantai itu di tapak kaki sambil mengenakan sedikit beban kepada tubuh badan. Terdapat 2 jenis timbulan iaitu timbulan kecil dan besar, dan ia dihasilkan untuk orang dewasa dan kanak-kanak.

Sangat mengejutkan kerana dapur terletak betul-betul di tengah bilik bulat. Kaunter dapur itu sendiri juga berbentuk bulat, membolehkan anda boleh melihat keseluruhan bilik sambil memasak, atau boleh juga menjamu makanan dengan menjadikan kaunter tersebut sebagai meja makan.

Untuk makluman, bilik di bangunan ini tidak mempunyai almari. Apabila difikirkan apa yang perlu dibuat dengan lantai bertimbul sana-sini dan susah untuk meletak perabot, adalah sangat tepat untuk menggantungkan sahaja pakaian, beg dan sebagainya di cangkuk-cangkuk yang banyak tersedia di siling. Cangkuk ini mampu menanggung berat sehingga 100kg, jadi ia juga mungkin kelihatan stail jika anda menggantungkan buaian kanvas bagi menggantikan sofa untuk berehat-rehat di dalamnya.

Setelah selesai melawat kesemua bilik di tingkat 3, bergerak pula ke tingkat 1. Mereka akan tunjukkkan pejabat Shusaku Arakawa dan Madeline GINS cawangan Tokyo yang menguruskan kediaman ini. Bahagian dalam pejabat dipenuhi dengan pelbagai barangan yang menjadikan ia cukup penuh dengan rasa suasana kehidupan harian.

Rupanya terdapat buaian di sini! Keadaannya yang tidak stabil namun masih boleh berfungsi sebagai sebuah meja, bilik ini terdapat pelbagai cara untuk digunakan bergantung kepada imaginasi anda. Bangunan menakjubkan yang pasti membuatkan anda melihatnya berkali-kali apabila anda melalui kawasan ini.

  • Mitaka Temmei Hanten Juutaku
    三鷹天命反転住宅
    • Address 2-2-8, Osawa, Mitaka-shi, Tokyo, 181-0015

Roti yang ingin dibeli untuk bawa balik sebagai cenderamata

Roti yang ingin dibeli untuk bawa balik sebagai cenderamata

Anda disyorkan agar singgah di "Osawa Bakery" iaitu kedai roti tempatan yang terletak berdekatan di situ sebelum melangkah pulang. Roti "Tenmei Hanten Pan" yang mendapat pengiktirafan rasmi dari "Reversible Destiny Lofts MITAKA" ada dijual di sini.

Bahagian bilik yang berbentuk segi empat dan bulat pada roti boleh dikatakan kelihatan serupa dengan Reversible Destiny Lofts MITAKA. Roti dengan rasa yang lembut dan naif, bolehlah anda mencubanya sebagai kenangan untuk hari tersebut. Namun, ia dikatakan hanya dibakar seminggu sekali, dan tiada pula hari yang ditetapkan.

  • Oosawa Behkarih
    オオサワベーカリー
    • Address 2-2-11, Osawa, Mitaka-shi, Tokyo, 181-0015
*Maklumat semasa artikel ditulis

Kongsi artikel ini