Gyoza

Gyoza

Update:

Walaupun gyoza berasal dari China, tetapi ia sungguh berbeza di Jepun. Bagi orang Jepun ia juga dikatakan "rasa makanan rakyat", gyoza sering dimakan selepas pulang daripada bekerja.

Sejarah gyoza di Jepun

Sejarah gyoza di Jepun

Gyoza mula dimakan di Jepun sebelum tahun 1700 lagi. Ia berkembang luas sejak awal tahun 1900-an, kedai cawangan terkenal gyoza hangat diperkatakan dan setiap hari dipenuhi pelanggan. Selepas tahun 2000, Utsunomiya, Tochigi Prefecture dan Hamamatsu, Shizuoka Prefecture menjadi "kawasan terkenal gyoza" dan juga dikenali sebagai produk tempatan.

Jenis gyoza Jepun

Jenis gyoza Jepun

Gyoza yang berasal dari China adalah gyoza yang dididihkan iaitu "suigyoza" yang dibalut dengan kulit doh berintikan kubis Cina, daging khinzir dan daun kucai. Di Jepun kebiasaannya adalah gyoza yang dimasak di atas kuali leper iaitu "yakigyoza" yang dibalut dengan kulit doh berintikan daging khinzir bersama-sama kubis dan bawang putih. Setiap kawasan mempunyai gyoza yang tersendiri, seperti "Utsunomiya gyoza" di Tochigi Prefecture yang menggunakan banyak kubis cina dan "Hamamatsu gyoza" di Shizuoka Prefecture yang menggunakan banyak kubis. Selain itu, di Fukuoka Prefecture pula terkenal dengan "hitokuchi gyoza" iaitu gyoza yang bersaiz lebih kecil daripada biasa.

Tempat makan gyoza di Jepun

Tempat makan gyoza di Jepun

Selain daripada restoran Cina, gyoza banyak terdapat di kedai ramen. Kebanyakan kedai ramen terdapat menu gyoza dan ada juga kedai yang terkenal dengan gyozanya walaupun kedai tersebut adalah kedai ramen. Terdapat banyak kedai cawangan gyoza yang berkembang di seluruh Jepun. Kedai gyoza tertumpu di Ikebukuro, Tokyo. Gyoza yang sudah siap dimasak dan gyoza beku juga ada dijual di pasar raya.

Cara gyoza dimakan

Cara gyoza dimakan

Sewaktu memakan gyoza, kebiasaannya dicicah dengan sos tare. Sos tare dibuat dengan meletakkan separuh shoyu (kicap soya) dan cuka, kemudian titikkan beberapa rayu (minyak cili pedas). Setiap jumlah kandungannya boleh diubah mengikut citarasa masing-masing. Ada juga yang menaburkan lada sulah ke atas cuka. Bahan perasa seperti shoyu, cuka, rayu dan lada sulah diletakkan di atas meja dan sos tare boleh dibuat mengikut kesukaan anda.

Set yang dimakan bersama gyoza

Set yang dimakan bersama gyoza

Berbeza dengan di China, di Jepun gyoza dijadikan sebagai lauk dan dimakan dengan nasi putih dan ramen. Di kedai gyoza terdapat menu "set gyoza dan nasi putih" manakala di kedai ramen terdapat menu "set gyoza dan ramen". Gyoza pada kelazimannya ditawarkan dengan harga berpatutan dan sering dinikmati oleh pelbagai golongan.

*Maklumat semasa artikel ditulis

Kongsi artikel ini