Kecantikan

Kecantikan

Update:

Sama seperti negara-negara maju yang lain, Jepun mempunyai minat yang mendalam tentang diet dan kecantikan. Pasti anda tertanya-tanya tentang hal berkaitan kecantikan dan pembelian produk kecantikan pada masa kini di Jepun. Di sini saya akan menyampaikan pelbagai maklumat berguna ketika membeli cenderamata semasa melancong di Jepun.

Teknik kecantikan orang Jepun

Di Jepun, wanita bekerjaya yang mengenakan solekan wajah dianggap selari dengan tatasusila dan ramai juga wanita yang mengunjungi salon kuku. Sejak kebelakangan ini, ramai golongan muda seperti pelajar sekolah menengah juga cenderung mengenakan solekan. Terdapat kosmetik yang berharga murah dan bersaiz kecil yang disasarkan kepada golongan muda. Selain solekan semula jadi, terdapat juga solekan perempuan yang lebih kompleks dengan mengenakan beberapa lapis bulu mata palsu.

Teknik kecantikan orang Jepun secara tradisional

Teknik kecantikan tradisional yang berterusan sejak zaman Edo adalah losyen muka daripada tumbuh-tumbuhan seperti petola dan pencuci muka daripada produk makanan seperti kacang merah. Pada masa kini juga, produk-produk kecantikan yang mengandungi ekstrak bahan-bahan ini dijual di pasaran. Selain itu, najis burung siul yang dikatakan mempunyai kesan pemutihan juga digunakan dalam pencuci muka. Di samping itu, teknik lain seperti menyinarkan rambut dengan menggunakan minyak yang diambil daripada bunga camellia juga masih diamalkan sehingga kini.

Cara membeli produk kecantikan

Tempat untuk mendapatkan produk kosmetik dengan mudah adalah seperti di drugstore (kedai ubat), kedai diskaun dan kedai 100 yen. Di kaunter di pusat membeli-belah pula, para pengunjung boleh berbincang dengan pekerja kecantikan tersebut sebelum membeli produk kecantikan yang terkenal dan diimport dari luar negara. Sejak akhir-akhir ini, bilangan kedai drugstore dan kedai diskaun yang bebas cukai semakin bertambah di bandar-bandar besar. Terdapat juga kedai-kedai tersebut yang menempatkan pekerja yang boleh berbahasa asing. Untuk pengecualian cukai, pembeli perlu mempamerkan pasport semasa membeli barangan dan menurunkan tandatangan pada sejenis dokumen iaitu ikrar pembelian. Kemudian, rekod pembelian perlu ditampal pada pasport dan urusan anda selesai. Rekod pembelian ini akan dikutip oleh kastam semasa anda berlepas meninggalkan Jepun.

Salon kecantikan rambut dan salon kuku

Di Jepun, terdapat banyak salon kecantikan rambut di setiap kawasan dalam bandar. Terdapat ramai wanita yang bukan sahaja ingin memotong rambut, malahan mewarnakan rambut, dan ramai di kalangan mereka yang mengunjungi salon kecantikan rambut ini sekurang-kurangnya sekali dalam sebulan. Harga bagi potongan rambut di Tokyo adalah lebih kurang 5,000 JPY dan ada juga salon potong rambut yang menawarkan serendah 1,000 JPY. Kecantikan kuku juga amat terkenal di Jepun dan kebiasaannya mereka mengenakan hiasan kuku jenis gel.

Produk kecantikan yang bertransformasi

Jepun sebagai sebuah negara yang amat terkenal dengan onsen (kolam mandi air panas), terdapat satu budaya memasukkan serbuk mandian ke dalam tab mandi. Terdapat serbuk mandian jenis buih atau yang bertindak balas dengan bau badan boleh didapati dengan murah di drugstore. Selain itu, peralatan kecantikan elektrik seperti mesin urut yang menghilangkan kedutan wajah dan stoking yang mengurangkan pembengkakan kaki juga amat terkenal. Selain itu, mesin urut juga amat terkenal seperti kerusi urut yang boleh didapati di kedai peralatan elektrik dengan harga yang mahal. Di drugstore, losyen dan pelembap untuk lelaki juga mula dipasarkan dan mendapat sambutan yang menggalakkan.

*Maklumat semasa artikel ditulis

Kongsi artikel ini