Pertunjukan dan persembahan

Pertunjukan dan persembahan

Update: 22 Mac 2016

Di Jepun, terdapat satu budaya menonton pelbagai jenis pertunjukan dan persembahan sebagai hiburan dalam kelompok yang ramai. Persembahan tradisional seperti kabuki dan nogaku terkenal di kalangan penduduk Jepun yang sudah berusia. Selain itu, terdapat banyak teater dan persembahan yang lebih moden dan mempunyai ciri-ciri tersendiri negara Jepun.

Kesenian tradisional

Kabuki, salah satu warisan kebudayaan tidak ketara yang telah diiktiraf merupakan gabungan muzik, lakonan dan tarian adalah sebuah teater yang amat terkenal sejak dari zaman Edo lagi. Para pelakon kabuki akan membuat persembahan sambil memakai pakaian tradisi Jepun yang cantik dan mengenakan solekan yang ketara seperti bedak putih dan lukisan muka. Pelakon kabuki terdiri daripada lelaki sahaja dan watak perempuan juga akan dilakonkan oleh pelakon lelaki yang memakai pakaian dan mengenakan solekan seperti perempuan. Lenggok badan dan persembahan mereka di atas pentas pasti akan membuatkan para penonton terpikat. Selain daripada kabuki, terdapat juga persembahan lain yang memfokuskan kepada tarian dan muzik iaitu noh. Terdapat noh yang menggunakan topeng muka dikenali sebagai nomen dan yang tidak menggunakan topeng muka dikenali sebagai kyogen.

Wagei (persembahan sambil bercerita) Jepun

Rakugo merupakan sejenis seni persembahan klasik yang memfokuskan kepada penceritaan. Ia akan dipersembahkan oleh seorang pencerita yang dikenali sebagai hanashika yang duduk di atas pentas berseorangan. Sambil bercerita, beliau akan menggerakkan-gerakkan tangan dan badannya untuk menarik perhatian para penonton untuk sama-sama bergelak ketawa. Tempat persembahan rakugo dikenali sebagai yose dan boleh didapati di sekitar Tokyo seperti di Shinjuku dan Ikebukuro. Rakugo juga banyak ditayangkan di kaca televisyen. Selain rakugo, terdapat juga wagei yang dipersembahkan oleh 2 pencerita yang berpura-pura seperti lurus bendul yang boleh ditonton di dewan teater yang kecil atau kaca televisyen.

Opera dan muzikal Jepun

Di Tokyo, persembahan opera boleh ditonton di dewan khas opera di New National Theater. Jika disebut tentang keunikan muzikal Jepun, sudah pastilah jawapannya kumpulan opera yang dianggotai oleh sekumpulan wanita yang belum berkahwin dari Syarikat Takarazuka Revue. Ia menarik perhatian penonton dengan solekan mata yang ketara dan solekan muka yang meriah dan unik serta lagu-lagu dan tarian yang dipersembahkan. Berlainan dengan kabuki, ia memukau perhatian penonton dengan lagak gaya watak lelaki yang dilakonkan oleh pelakon wanita.

Budaya teater Jepun

Di Jepun, persembahan kebudayaan bukan sahaja diadakan di dewan yang besar seperti persembahan muzikal, tetapi juga seperti persembahan teater di dewan teater yang kecil. Di Shinjuku dan Shimokitazawa yang terletak di Tokyo, terdapat banyak tempat persembahan yang boleh memuatkan kurang daripada 200 orang pada satu-satu masa. Setiap tempat tersebut mempunyai ciri-cirinya yang tersendiri seperti tidak mengenakan mekap yang tebal dan tiada lagu, penonton akan ditarik ke atas pentas mengikut penceritaan pada hari tersebut, terdapat tarian dalam persembahan dan lain-lain lagi yang pastinya akan menghiburkan para penonton.

Persembahan makan malam dan persembahan jalanan

Menikmati hidangan makan malam sambil menonton persembahan di atas pentas dikenali sebagai persembahan makan malam. Persembahan makan malam kebiasaannya dianjurkan oleh hotel-hotel pada musim Krismas. Selain itu, terdapat juga persembahan jalanan seperti "juggling" yang diadakan di jalan-jalan utama pada musim tersebut. Persembahan jalanan yang mempunyai ciri-ciri unik Jepun pula adalah "sarumawashi" yang terkenal. Ia merupakan persembahan oleh seekor monyet sambil dibimbing oleh tuannya. Persembahan sarumawashi mungkin boleh dilihat semasa karnival yang besar.

Adab ketika menonton persembahan

Terdapat persembahan yang mengambil masa yang lama seperti persembahan kabuki, ia dimainkan lebih daripada 4 jam. Tetapi, jangan risau kerana terdapat waktu rehat antara persembahan tersebut. Terdapat juga kedai yang menjual makanan ringan di tempat-tempat yang mempersembahkan kabuki. Selain itu, mungkin juga terdapat tempat duduk di bahagian tepi yang khas untuk menikmati makanan. Perkara di atas hanya terhad semasa menonton persembahan kabuki sahaja. Secara amnya, makan dan minum serta membuat bising semasa menonton persembahan di Jepun adalah tidak digalakkan.

*Maklumat semasa artikel ditulis

Kongsi artikel ini