Sushi

Sushi

Update:

"Sushi" bukan sahaja terkenal di Jepun bahkan di negara asing juga. Marilah mengenali cara-cara untuk makan sushi dengan sedap.

Apakah itu sushi?

Sushi merupakan makanan Jepun yang terdiri daripada nasi bercuka dengan bahan makanan laut mentah di atasnya. Di atas "syari" iaitu nasi yang telah dikepal dalam bentuk tawaragata (bentuk tong), diletakkan hasil laut yang dipanggil "neta". Ia dimakan setelah dicicah dengan kicap soya. Oleh kerana Jepun mempunyai 4 musim, ikan yang sesuai untuk dimakan adalah berbeza mengikut musim, anda boleh menikmati neta yang sedap di setiap musim.

Sejarah sushi

Pelopor kepada sushi adalah "narezushi" iaitu makanan yang diawet dengan cara menjerukkan ikan, nasi bercuka dan beras lalu tapaikannya. "Nigirizushi" seperti kini dianggap bermula pada peringkat akhir zaman Edo (tahun 1818 hingga 1830), disediakan terutamanya di gerai-gerai pada zaman tersebut. Namun atas aspek kebersihan, sushi sudah jarang dijual di gerai pada zaman kini.

Jenis sushi

Selain daripada sushi "nigiri" yang biasa didengari, makizushi seperti "hosomaki", "futomaki", "temaki", dan jenis yang tidak membungkus neta seperti "chirashisushi" juga boleh didapati. Tambahan lagi, sushi tidaklah terhad kepada ikan mentah sahaja, terdapat "aburisushi" iaitu membakar sekilas permukaan neta, "saradamaki" iaitu balutan pelbagai jenis sayur, di samping sushi dengan neta yang dimasak seperti telur dan anago. Oleh itu, individu yang mual dengan ikan mentah juga boleh menikmati sushi.

Menjamu sushi

Di atas meja dalam kedai sushi disediakan piring kecil yang dipanggil "shoyusashi". Masukkan terlebih dahulu kicap soya ke dalam shoyusashi sebelum makan sushi. Apabila makan dengan tangan, cicah terus sushi ke kicap soya. Pada waktu itu, jika syari dicicah terus ke kicap soya ia akan menyebabkan nasi itu menyerap sos soya itu, maka lebih baik letakkan sos soya ke neta. Anda boleh meminta tukang masak atau pelayan kedai sushi untuk memasukkan atau tidak memasukkan wasabi.

Cara-cara makan ala Edomae (stail Tokyo)

Cara-cara makan yang dianggap betul dari zaman Edo, adalah dengan menggunakan "gari" iaitu potongan nipis halia yang diletakkan cuka manis. Cicahkan gari ke kicap soya, kemudian letakkannya di atas neta. Dengan berbuat begitu, ia dapat mengelak dari mengenakan kicap soya secara berlebihan. Gari yang dikenakan kicap soya bagus dimakan bersama dengan sushi, ataupun juga boleh diletakkan di pinggan sendiri dan makan kemudiannya. Halia berupaya menghilangkan bau, jadi ia boleh menyegarkan mulut sebelum makan neta lain.

Pelbagai jenis kedai sushi

Kini, selain daripada kedai sushi dengan stail makan di kaunter, terdapat pelbagai stail kedai sushi yang boleh anda nikmati seperti "kaitenzushi" iaitu kedai sushi dengan pinggan sushi bergerak automatik di dalam kedai, "demaesushi" iaitu penghantaran terus ke rumah dan sebagainya.

*Maklumat semasa artikel ditulis

Kongsi artikel ini