Makanan barat

Makanan barat

Update:

Makanan tradisional barat yang telah tersebar dan telah mengalami evolusinya yang tersendiri di Jepun. Terdapat banyak makanan barat yang lebih sesuai dimakan bersama nasi berbanding roti.

Nasi kari

Masakan yang terhasil daripada penyebaran masakan kari dari India ke United Kingdom ini telah berkembang dengan pesat di Jepun. Berbanding kari India yang asal, ciri-ciri kari Jepun adalah lebih pekat, kurang pedas, dan dimakan dengan menuangkan kari di atas nasi.

Kutlet (potongan daging)

Kutlet adalah masakan yang disediakan dengan mencelup daging ke dalam telur, kemudian dibaluti dengan serbuk roti dan digoreng. Kebiasaannya kutlet menggunakan daging babi, lembu dan ayam, manakala masakan yang menggunakan daging ikan pula dipanggil "fry". Kutlet daging babi yang dipanggil "tonkatsu" amat terkenal di Jepun hinggakan terdapat banyak kedai khusus yang hanya menyediakan hidangan tersebut.

Omurice (nasi telur)

Hidangan nasi berperasa sos tomato yang dibungkus dengan telur goreng omelet ini adalah merupakan cetusan idea dari Jepun sendiri pada zaman Meiji hingga zaman Taisho. Hidangan ini merupakan contoh masakan barat yang sangat terkenal di Jepun. Selain daripada sos tomato, terdapat pelbagai sos lain yang digunakan seperti sos demi-glas (sos perang pekat dalam masakan Perancis) dan sos putih. Selain daripada itu, terdapat juga soba (sejenis mee Jepun) goreng yang dibungkus dengan telur goreng omelet yang dipanggil "omusoba".

Korokke (begedil)

Hidangan ini disediakan dengan menggaul kentang rebus dan daging cincang ataupun sayur, lalu dibaluti dengan serbuk roti dan kemudiannya digoreng. Korokke merupakan hidangan mewah pada zaman Meiji, tetapi kini ianya boleh dinikmati oleh pelbagai lapisan masyarakat.

Doria

Doria merupakan masakan yang lahir di Jepun. Hidangan ini merupakan sejenis gratin, di mana ianya boleh disediakan dengan menuang sos putih di atas nasi pilaf ataupun nasi mentega lalu dibakar di dalam ketuhar.

Makanan barat pada masa kini

Sejak kebelakangan ini, kepelbagaian menu makanan barat semakin meningkat. Hidangan-seperti "tarako spaghetti" yang menggunakan tarako (telur ikan kod) dan "wafu spaghetti" (spageti ala Jepun) yang berperasa shoyu (sos soya) juga adalah contoh menu asli dari Jepun. Pengubahsuaian makanan asing sebegini secara berterusan akan menghasilkan makanan barat ala Jepun yang tersendiri.

*Maklumat semasa artikel ditulis

Kongsi artikel ini