Sukiyaki

Sukiyaki

Update:

Memperkenalkan sukiyaki, masakan yang mewakili Jepun.

Apakah itu sukiyaki?

Sukiyaki adalah salah satu masakan nabe (periuk besi atau tanah). Bahan-bahan seperti daging dan sayur dihiris nipis dan dimasak dengan menggunakan periuk besi yang cetek. Kebiasaannya sup campuran daripada shoyu (kicap soya Jepun) dan gula, sake (arak Jepun), dan sebagainya yang dipanggil "warishita" akan dituang ke dalam periuk sebagai perasa, dan kemudian daging atau sayur tersebut dimakan dengan mencelupnya ke dalam mangkuk berisi telur mentah.

Sejarah

Pada tahun 1859, Yokohama telah dibuka sebagai pelabuhan dan budaya memakan daging telah dibawa dari luar negara. Sukiyaki dikatakan bermula daripada sebuah izakaya (kedai arak) di Yokohama iaitu "Isekuma" yang menyajikan daging rebus yang diberi nama "gyunabe". Selepas kejadian gempa bumi besar di Kanto pada tahun 1923, daging bakar yang menggunakan sup warishita semakin meluas.

Warishita

Kebiasaannya shoyu, sake, gula dan sebagainya akan dicampurkan ke dalam air rebusan yang menggunakan konbu (rumpai laut), cendawan dan katsuobushi (makanan awet daripada ikan cakalang). Miso juga boleh dimasukkan sebagai penambah perisa. Faktor penentu kesedapan sukiyaki adalah terletak pada warishita ataupun supnya. Kebanyakan kedai sukiyaki sangat mementingkan sup warishita ini, di mana kebanyakannya dibuat sendiri berdasarkan resipi rahsia turun-temurun.

Bahan-bahan

Selain daripada daging, sayur-sayuran seperti kubis cina, daun bawang dan kalungan kekwa, pelbagai jenis cendawan seperti shiitake, enoki, shimeji, dan cendawan tiram turut dimasukkan. Selain itu, tauhu bakar, shirataki (sejenis jeli) dan mochi juga turut dimasukkan.

Perbezaan tempat

Terdapat perbezaan cara memasak dan rasa mengikut kawasan. Di Kanto, kebiasaannya daging akan dimasukkan selepas sup dituang ke dalam periuk, manakala di Kansai pula, daging dimasukkan terlebih dahulu ke dalam periuk dan dimasak, kemudian gula dan shoyu ditambah tanpa memasukkan sup warishita.

*Maklumat semasa artikel ditulis

Kongsi artikel ini