Tempura

Tempura

Update: 22 Mac 2016

Tempura adalah makanan popular dari Jepun. Artikel ini akan memperkenalkan mengenai sejarah dan cara makan, serta rahsia kesedapan tempura.

Sejarah tempura

Tempura dipercayai telah tersebar daripada Portugal ke Jepun pada abad ke 17. Di Jepun, makanan berasal dari luar negara ini telah kehilangan rupa asalnya, dan diolah cara penyediaannya supaya menepati citarasa dan gaya yang digemari masyarakat Jepun.

Cara penyediaan tempura

Bahan-bahan dipotong kepada saiz yang mudah dimakan dan kemudian dihilangkan kelembapannya. Kemudian, bahan-bahan tersebut disalutkan dengan "koromo" (adunan) yang terdiri daripada telur, air, dan tepung gandum, lalu digoreng. Untuk mengelakkan tempura daripada melekit dengan minyak, letakkan ia di atas jaring ataupun kertas dapur.

"Koromo" (adunan) mempengaruhi kelazatan tempura

Elemen yang penting bagi tempura adalah "koromo". Bahan-bahan tempura akan dikukus pada suhu tinggi kerana ianya diselaputi oleh "koromo", lalu menyebabkan kemanisan bahan tersebut terpelihara. Tempoh menggoreng tempura adalah berbeza mengikut bahan serta kawalan suhu minyak, dan kemahiran yang tinggi diperlukan bagi menyediakan tempura yang mudah dan ringan untuk dijamah.

Jenis-jenis tempura

Pada asasnya, kesemua bahan yang boleh digoreng dapat djadikan sebagai tempura. Udang, ikan jenis sillaginidae, dan labu adalah antara bahan yang popular. Selain daripada itu terdapat juga sajian bersaiz besar iaitu "kakiage" yang terdiri daripada sotong, bawang, dan lobak merah yang telah digaul bersama lalu digoreng.

Cara makan tempura

Pada kebiasaannya tempura dimakan bersama "tsuyu", iaitu sup masin-manis berasakan "shoyu" (kicap soya Jepun), ataupun dimakan bersama garam yang ditabur di atasnya. Tetapi oleh kerana tiada peraturan tertentu ditetapkan, anda bebas memilih kombinasi bahan dan rasa yang anda gemari. Oleh kerana tempura paling sedap dimakan sejurus selepas ianya digoreng, lebih baik jika anda terus makan selepas ianya dihidangkan.

Masakan tempura yang lain

Terdapat juga pelbagai masakan tempura yang lain. Antara makanan yang digemari ramai adalah seperti "tendon", iaitu nasi bersama tempura di atasnya, serta "tempura soba" dan "tempura udon", iaitu tempura yang dimakan bersama soba atau udon (sejenis mi Jepun). Terdapat juga tempura yang menggunakan bahan lain seperti ais krim. Ianya disediakan dengan menggoreng ais krim yang disaluti "koromo" dalam tempoh yang singkat. Manisan ini mempunyai rasa yang berlainan kerana luarannya adalah panas berbanding air krim di dalam yang masih sejuk.

*Maklumat semasa artikel ditulis

Kongsi artikel ini