Onsen (kolam air panas Jepun) dan sento (tempat mandi awam)

Onsen (kolam air panas Jepun) dan sento (tempat mandi awam)

Update: 4 Oktober 2016

Setibanya di Jepun, tidak sedikit antara kita yang terfikir "Orang Jepun sememangnya sukakan ofuro (kolam mandi)!". Bagaimanapun, pasti ada yang tertanya-tanya apakah perbezaan antara onsen dan sento? Jadi marilah kita lihat perbezaannya.

Perbezaan onsen dan sento

Sento merujuk kepada tempat mandi awam istimewa Jepun, manakala onsen pula ialah kolam air panas yang mesti berpunca dari mata air yang memancar keluar daripada bawah tanah. Selain itu, punca mata air mestilah bersuhu 25 darjah celcius dan ke atas, seperti yang telah termaktub dalam Onsenho (undang-undang onsen). Di samping itu, wujudnya salah satu daripada 19 komposisi istimewa seperti ion lithium, ion hidrogen dan lain-lain, melayakkan kolam tersebut dikategorikan sebagai onsen.

Menikmati masakan juga adalah salah satu keseronokan dalam percutian onsen

Di Jepun, terdapat onsen popular yang mendapat sambutan sejak zaman dahulu lagi seperti Atami, Kusatsu dan sebagainya, apabila masyarakat Jepun melancong di dalam negara, tidak kurang juga yang menjadikan onsen sebagai matlamat melancong, selain daripada melawat lokasi pelancongan. Di kawasan penginapan yang terletak di onsen ternama, bukan sekadar dapat menikmati onsen, malahan juga dapat menikmati sajian di sana.

Uchiburo dan rotemburo

Onsen dan sento mempunyai pelbagai bentuk ofuro yang dapat dinikmati. Ofuro yang berada di dalam bilik digelar "uchiburo". Di antaranya, tub mandi yang luas adalah amat popular. Selain itu, terdapat rotemburo yang merupakan ofuro di luar bilik yang mendapat sambutan yang tinggi. Memasuki ofuro dengan selesa sambil dapat menikmati keindahan panorama di luar merupakan daya tarikannya.

Jika ingin merasai sendiri budaya orang kebanyakan pilihannya ialah Sento

Ciri-ciri sento ialah ianya dikunjungi orang-orang di kawasan tersebut. Anda dapat mengamati budaya masyarakat awam seperti warga emas di kawasan sekitar berbual-bual di dalam kolam, dan berehat dengan santai di bilik persalinan.

Berkenaan sistem sento

Dahulu, bilik persalinan lelaki dan perempuan dipisahkan dan dikawal oleh seorang "Banto". Tetapi kini, sento yang berbentuk sebegini berkurangan dan kebanyakannya bertukar kepada sistem yang memerlukan pembayaran di pintu masuk. Terdapat keadaan di mana pembelian tiket masuk menggunakan mesin lalu tiket tersebut diserahkan di kaunter hadapan, atau terus pergi ke kaunter hadapan dan buat pembayaran di situ.

Sento dan super sento

Di Jepun, selain daripada sento iaitu rumah mandi awam biasa hanya untuk menikmati ofuro, terdapat juga "Super Sento" dan "Kenko Land" di mana digabungkan sekali dengan tempat makan dan tempat rehat dan rawat. Bagi tempat-tempat sebegini, selain daripada tempat untuk tidur sebentar, mesin urut, manga, komputer, malah sehinggakan salon turut disediakan. Walau bagaimanapun, disebabkan pelbagai servis tambahan yang disediakan, bayarannya juga adalah lebih tinggi daripada sento biasa.

Adakah pakaian renang diperlukan di fasiliti onsen atau sento?

Di sento dan onsen di Jepun, kebiasaannya tidak memakai sebarang pakaian, dan masuk mandi bertelanjang adalah perkara biasa. Oleh kerana itu, untuk masuk ke tempat mandi tiada sebarang pakaian khas seperti pakaian mandi perlu dibawa, tetapi bagi onsen yang menerima ramai pelancong, terdapat juga kolam air panas buatan disediakan. Terdapat juga tempat yang menyediakan servis berbayar untuk menyewa pakaian mandi, oleh itu sekiranya melancong dalam masa yang singkat, tidak perlulah menyediakan sebarang pakaian mandi terlebih dahulu.

*Maklumat semasa artikel ditulis

Kongsi artikel ini