HOME destinasi pelancongan popular
destinasi pelancongan popular

destinasi pelancongan popular

Last updated: 19 Februari 2020

Kawasan membeli-belah yang dipenuhi dengan pelbagai kedai mewah di Ginza , kawasan tinggalan era Edo di Asakusa , dan Shibuya yang terkenal dengan lintasan pejalan kakinya, merupakan kawasan perlancongan yang kaya dengan ciri-cirinya yang tersendiri.

Ginza

Ginza dikenali sebagai pusat membeli-belah utama di Jepun, di mana pelbagai gedung membeli-belah besar seperti Ginza Mitsukoshi, Matsuya Ginza dan cawangan utama syarikat Wako bertempat di sini. Terdapat banyak kedai dari pelbagai jenama terkemuka dunia, di samping kedai tradisional yang hanya boleh didapati di Jepun di sepanjang jalan utama di Ginza. Oleh yang demikian, walaupun anda tidak bercadang untuk membeli-belah, pelancong juga pasti akan menikmati pengalaman berkunjung ke kawasan ini. Pada hari minggu, jalan sepanjang 1,100 meter dari persimpangan Ginza Dori akan ditutup kepada lalu lintas, dan pengunjung dapat berjalan di sepanjang jalan ini dengan bebas sambil membeli-belah di sini.
Di samping itu, Ginza juga merupakan sebuah kawasan yang penuh dengan panggung pertunjukan dan juga pelbagai jenis galeri, yang membolehkan pengunjung menikmati pelbagai jenis genre seni, dari zaman dahulu sehingga hari ini. Salah satu daripada tempat ini ialah Kabuki-Za, di mana pengunjung dapat merasai pengalaman dunia pertunjukan Kabuki. Tempat ini menyediakan kemudahan alat panduan dengan sari kata Bahasa Inggeris (caj tambahan akan dikenakan). Selain daripada itu, Ginza juga merupakan kawasan tumpuan kedai antena (“antenna shop”) yang menjual pelbagai produk istimewa dari setiap kawasan dari seluruh pelusuk Jepun dan membolehkan pengunjung untuk membeli produk ini dari hanya satu tempat. Malah, Ginza juga terkenal dengan restoran yang menghidangkan hidangan gaya Jepun “washoku” seperti sushi, dan juga restoran yang dipaparkan dalam majalah gourmet terkenal seluruh dunia. Selepas matahari terbenam, Ginza akan bertukar kepada sebuah bandar yang dihiasi dengan keindahan lampu neon dari kelab dan bar yang berkelas tinggi.

Tsukiji

Tsukiji merupakan pasar yang paling besar di Jepun, dan juga dikenali sebagai “Dapur Tokyo”. Meskipun harus bangun pada awal pagi untuk berkunjung ke pasar ini, ramai pelancong tetap mengunjungi pasar ini untuk menyelami kesibukan dan melihat suasana meriah di pasar ini dengan mata mereka sendiri, di mana tangkapan segar akan dibawa dari seluruh pelusuk Jepun. Pasar Tsukiji dibahagikan kepada dua sektor – “jonai” (sektor dalam) dan “jogai” (sektor luar). Di kawasan “jonai”, pengunjung berpeluang melihat suasana sebenar pasar ini, manakala di kawasan “jogai” terdapat lebih kurang 400 restoran yang menyediakan pelbagai jenis makanan dan minuman yang sedap. Restoran ini akan kekal di tempat asalnya walaupun pasar “jonai” akan berpindah ke Toyosu pada 2017. Oleh yang demikian, pelancong masih berpeluang untuk menikmati hidangan Jepun menggunakan bahan masakan yang segar selepas perpindahan tersebut.
Pelancong boleh membeli-belah di dalam kawasan “jogai”. Selain daripada ikan segar, terdapat juga bahan masakan yang telah diproses seperti kek ikan, rumpai laut, ikan sardin kering, kepingan bonito dan sebagainya yang dijual di kedai-kedai yang membarisi jalan yang sempit di sini. Pengunjung boleh mencuba sendiri produk yang dijual di kedai-kedai tersebut dan membeli barangan yang berkenan untuk dibawa pulang sebagai ole-ole.
Di samping itu, kuil Tsukiji Hongwanji yang terletak di kawasan timur laut pasar “jogai” merupakan satu tarikan yang harus dilawati pengunjung. Kuil ini dibina di kawasan berhampiran Asakusa pada tahun 1617, semasa zaman Edo. Namun demikian, kuil ini musnah dalam satu kebakaran besar dan telah dibina semula di tapak pada hari ini. Berlainan dengan seni bina Jepun, bangunan luar kuil ini mempunyai unsur seni bina India, dengan tangga yang menyerupai istana mewah, dan cermin serta paip organ yang dibina berasaskan seni bina Barat yang sering terdapat di gereja.

Stesen Tokyo

Stesen Tokyo adalah terminal utama yang menghubungkan pelbagai landasan keretapi seperti landasan Shinkansen (keretapi laju) dan setiap landasan keretapi tradisional JR, Tokyo Metro dan lain-lain yang menuju ke setiap destinasi di Jepun. Terletak berhadapan dengan Imperial Palace iaitu bekas tapak Istana Edo dan realitinya kini menjadi pintu gerbang kepada Tokyo. Bangunan stesen berwarna merah berunsurkan retro yang direka oleh Tatsuno Kingo iaitu bapa arkitektur moden Jepun itu mempunyai rekaan dalaman yang sangat cantik dan kemas serta menjadi salah satu tarikan di Tokyo. Dalam beberapa tahun yang lalu, kawasan sekitar stesen telah dibangunkan semula, dan reka bentuk bangunan dikembalikan kepada yang asal seperti ketika kali pertama dibuka pada tahun 1914. Selain itu, restoran dan kemudahan jual beli di kawasan kaunter tiket yang lengkap dengan jualan cenderamata dan bekal makanan turut sama berkembang dengan penyiapan bangunan pencakar langit seperti Sapia Tower, GranTokyo dan lain-lain, lalu terciptalah Tokyo Station City. Terdapat bandar pejabat Marunouchi terletak hanya 1 minit berjalan kaki dari pintu stesen Marunouchi Tokyo. Di kawasan paling baik terdapat bangunan ibu pejabat syarikat terkemuka dan bank ternama dibangunkan saling bersebelahan satu sama lain, merupakan pusat ekonomi Jepun. Di sepanjang Marunouchi-Nakadori penuh dengan kedai barangan berjenama mewah, malah terdapat juga banyak kemudahan komersial.

Akihabara

Selepas perang, bermula sebagai sebuah pasaran gelap di mana para tentera menjual barang-barang terpakai, kini Akihabara telah berjaya mengalami transformasi kepada bandar barangan elektrik yang menjadi simbol Jepun. Pada suatu masa dahulu, Akihabara merupakan pusat pelbagai kedai barangan elektrik dan elektronik yang mempunyai pelanggan setia. Walaubagaimanapun, dengan ledakan permainan elektronik dan sebagainya, wajah bandar itu juga telah berubah sejajar dengan perubahan masa, dan kini kedai anime dan manga telah memainkan peranan utama dalam membentuk Akihabara menjadi bandar yang digelar bandar "otaku". Penampilan wanita yang berpakaian seperti pembantu kafe menjadi pelayan di "Maid Cafe" akan melayani setiap pelanggan dengan panggilan "goshujinsama" (wahai tuanku). Pengalaman mencuba servis unik seperti itu juga adalah menarik. Lokasi pengambaran kumpulan AKB48 yang mencetuskan fenomena idol di Jepun turut dibina. Selain daripada persembahan yang dijadualkan secara tetap, terdapat juga "AKB48 CAFE & SHOP" di kawasan berdekatan. Di sini anda boleh menikmati pembelian barangan menarik selain dapat menikmati menu makanan yang berkait dengan ahli kumpulan itu. Sejak kebelakangan ini, gabungan bangunan semakin berkembang satu demi satu melalui pembinaan semula kawasan tersebut. Akihabara yang sudah berwajah baru juga kini berfungsi sebagai terminal selepas pembukaan Tsukuba Ekspress.

Asakusa

Asakusa merupakan kawasan pelancongan terkemuka di Tokyo, dan terkenal dengan kuil Sensoji yang merupakan kuil yang paling tua di Tokyo. Tanglung besar yang digantung di pintu Kaminarimon dan jalan Nakamise-dori sepanjang kira-kira 250 meter sering menjadi tempat tumpuan pengunjung yang berkunjung ke Asakusa. Terdapat lebih kurang 90 buah kedai di sepanjang Nakamise-dori yang menjual pelbagai jenis kuih, snek traditional Jepun dan juga alat permainan dari zaman Edo. Pengunjung akan berpeluang untuk melihat dengan mata mereka sendiri proses pembuatan makanan seperti agemanju, kibidango, imo youkan, teyaki-senbei, yang merupakan snek kegemaran semua sejak zaman-berzaman di beberapa kedai di sini. Berjalan sambil menikmati makanan istimewa ini merupakan suatu pengalaman yang harus dirasai oleh setiap pengunjung di sini. Selepas sembahyang di kuil Sensoji, pengunjung boleh mencuba makanan tradisi seperti kabayaki ikan unagi, dojonabe, sobatoro dan tempura. Terdapat juga tempat di mana pengunjung berpeluang merasai budaya tradisi Jepun seperti mencuba memakai baju kimono, perkhidmatan beca dan bot pelancongan di sepanjang Sungai Sumidagawa yang merupakan keistimewaan Asakusa.
Tokyo SkyTree (R) yang terletak bertentangan dengan Asakusa dan dipisahkan oleh Sungai Sumidagawa merupakan tarikan pelancong yang terbaru. Ambil pusingan kiri selepas keluar dari Kaminarimon, lintasi jambatan Azumabashi dan jalan terus sepanjang Asakusa-dori. Selepas melintasi jambatan Narihirabashi, Tokyo SkyTree terletak di sebelah kiri yang merupakan kawasan di mana pengunjung boleh menikmati suasana hari ini dan juga pada zaman Edo.

Ueno

Ueno merupakan bandar kebudayaan dan seni, yang penuh dengan zoo, galeri seni, muzium dan sebagainya. Zoo Ueno yang terkenal dengan Giant Panda merupakan zoo pertama di Jepun, yang mempunyai koleksi sebanyak kira-kira 500 jenis spesis binatang seperti beruang kutub, gorila, zirafah dan sebagainya. Selain itu, penugnjung dicadangkan untuk melawat muzium tertua di Jepun iaitu Muzium Sains Nasional dan juga Muzium Kesenian Tokyo yang dibina pada tahun 1926 dan dikenali sebagai muzium seni awam pertama di Jepun.
Taman Onshikoen Ueno yang terletak berdekatan menempatkan patung popular Saigo Takamori, yang merupakan samurai dan ahli politik yang dikenali oleh setiap orang Jepun. Selain itu, tempat ini juga terkenal sebagai tapak “hanami” di mana orang ramai akan memenuhi taman ini untuk berkelah sambil menikmati keindahan bunga sakura pada musim bunga. Bunga teratai yang dapat ditemui di kolam Shinobazu-noike yang terletak di dalam kawasan taman ini akan kembang mekar pada bulan Julai hingga Ogos, dan pemandangan yang indah ini juga diabadikan dalam lukisan dari zaman Edo.
Satu lagi tarikan Ueno isalah Ameyokocho, yang kerap dikenali sebagai “Ameyoko”. Terdapat cerita yang mengatakan bahawa tempat ini mendapat namanya kerana terdapat banyak kedai yang menjual dokumen pelepasan untuk tentera Amerika selepas tamatnya Perang Dunia Kedua di kawasan ini. Di sepanjang jalan kira-kira 400 meter di Ameyokocho, terdapat kedai-kedai yang menjual makanan, pakaian, perkakas rumah dan sebagainya yang boleh didapati dengan harga yang amat murah sehinggalah barangan mewah.

Roppongi

Roppongi, terletak di barat daya wad Minato, Tokyo. Sejak tahun 1960, ia telah menunjukkan kemakmurannya sebagai sebuah bandar perniagaan yang terhebat, tetapi melalui pembangunan semula, dalam beberapa tahun kebelakangan ini ia juga telah menjadi kukuh sebagai bandar pejabat daerah. Di satu plot kawasan yang dipanggil "Roppongi Hills", situ dipenuhi dengan hotel, stesen TV, pangsapuri mewah dan yang utama sekali iaitu "Mori Tower" yang mempunyai dek pemerhati. Mori Tower adalah bangunan 54 tingkat. Bandar Tokyo dapat dilihat dari "Tokyo City View" melalui "Sky Deck" yang berada di koridor pemerhati dalam pada ketinggian 250 meter dari aras laut dan koridor pemerhati luar berketinggian 270 meter dari aras laut, malah Tokyo Tower juga dapat dilihat secara dekat. "Tokyo Midtown" berada bertentangan dengan "Roppongi Hills". Di sini juga terkumpul pelbagai kemudahan bangunan pejabat, pusat membeli-belah, hotel dan lain-lain, mercu tanda "Midtown Tower" adalah bangunan tertinggi di Tokyo. Selain itu, di perkarangan kawasan Roppongi terdapat kedutaan Sepanyol dan Sweeden serta fasiliti yang berkaitan dengan ketenteraan Amerika Syarikat, dan oleh kerana terdapat banyak syarikat milik negara luar di situ, kelibat orang luar negara selalu kelihatan merupakan keistimewaan di situ.

Ikebukuro

Kawasan komersial yang memusatkan Yamanote Line JR, landasan keretapi Seibu, dan stesen Ikebukuro Tokyo Metro. Terletak di barat laut Tokyo,mercu tandanya adalah "Sunshine City". Bangunan setinggi 60 tingkat dan 4 tingkat bawah tanah itu dibuka pada tahun 1973 sebagai kompleks berskala besar pertama di Jepun. Bermula dari "Sunshine 60" yang mempunyai dek pemerhati, terdapat pelbagai kemudahan komersial dan hiburan seperti akuarium atas bumbung dan planetarium, serta taman tema hiburan tertutup "Namja Town" di bangunan "World Import Mart", pentas Sunshine, Prince Hotels dan lain-lain. "J-WORLD TOKYO" iaitu tempat di mana anda boleh bermain dalam dunia manga yang disiarkan dalam majalah "Shonen Jump Mingguan" adalah tempat yang tidak boleh dilepas pandang oleh peminat anime. "Stadium Gyoza Namja" dan "Fukubukuro (beg bertuah) Dessert Yokocho" di dalam Namja Town turut mendapat sambutan. Selain itu, "Tobu Department Store", "LUMINE" dan "Tokyo Metropolitan Art Space" terletak di pintu keluar stesen sebelah barat, manakala di sebelah timur pula terdapat "Seibu Department Store" dan "Ikebukuro PARCO", adalah kawasan untuk anda berseronok sehari suntuk.

Shinjuku

Suatu kawasan di daerah Tokyo Barat iaitu Shinjuku, adalah kawasan yang penuh sesak dengan orang ramai pada siang dan malam harinya. Bermula dengan "Isetan", terdapat pelbagai lagi tempat membeli-belah bertaraf tinggi seperti "Takashimaya", "Keio Department Store", "Odakyu Department Store" dan lain-lain. "Isetan" wujud sebagai mercu tanda Shinjuku. Terdapat pelbagai barangan serta fesyen tempatan dan antarabangsa di situ, serta ramai golongan wanita berbaris panjang di tingkat bawah tanah untuk mendapatkan manisan popular di situ. Bangunan Tokyo Metropolitan Government menjadi kebanggaan sebagai bangunan tertinggi di antara bangunan-bangunan tinggi lain di Shinjuku. Terdapat 2 bilik pemerhatian di ketinggian 202 meter, dan anda boleh menikmati pemandangan yang luar biasa secara percuma. Lokasi ternama seperti TOKYO SKYTREE(R), Tokyo Tower dan Roppongi Hills dapat dilihat, dan gunung Fuji juga akan kelihatan jika cuaca adalah baik. Jika ingin merasai budaya komedi Jepun lihatlah "Lumine the Yoshimoto". Anda dapat menikmati persembahan lawak dan teater komedi. "Shinjuku Gyoen" adalah taman yang luas dan dibina sebagai taman untuk keluarga diraja. Dipenuhi dengan kehijauan yang banyak menjadikannya oasis dalam bandar. Shinjuku juga diketahui sebagai kawasan hiburan yang rancak pada waktu malam, dan pada waktu tengahari pula ia menunjukkan wajah yang berbeza sebagai pusat bandar dan perniagaan.

Shibuya

Shibuya terkenal sebagai sebuah bandar yang digemari oleh anak-anak muda dan dipenuhi dengan pelbagai bangunan komersil seperi Shibuya 109, Shibuya HIkarie, Shibuya Parco, Marui dan sebagainya. Patung gangsa anjing Hachiko yang juga muncul dalam filem, boleh dijumpai di hadapan stesen Shibuya dan menjadi tempat janji temu yang sangat popular. Berdekatan dengan patung Hachiko adalah persimpangan jalan yang terkenal di kalangan pelancong asing. Apabila lampu isyarat bertukar merah, persimpangan ini akan dikerumuni dengan orang ramai yang melintas jalan. Pemandangan orang ramai yang berjalan dalam pelbagai arah merupakan satu pemandangan yang mencerminkan keunikan Tokyo. Selain itu, rumah Asakura-ke, taman Shoto Nabeshima, Muzium Seni Yamatane, kuil Konno Hachiman-gu dan banyak lagi tempat kebudayaan dan bersejarah terdapat di kawasan ini yang membolehkan pengunjung bersinggah ke tempat-tempat menarik tersebut sambal membeli-belah.
Terdapat banyak restoran yang menyediakan makanan sedap dan berkualiti dengan harga yang berpatutan di Ueno. Selain restoran makanan segera dan kafe yang menarik, kawasan ini juga penuh dengan restoran yang menghidangkan makanan popular di Tokyo seperti ramen dan sushi. Bagi pengunjung yang tidak keberatan, kawasan berdekatan yang penuh dengan pelbagai gaya yang menarik seperti Harajuku, Omotesando, dan Ebisu boleh dikunjungi dengan mudah.

Harajuku

Harajuku mempunyai sejarah selama berpuluh-puluh tahun dan popular sebagai bandar tumpuan anak-anak muda dan dibarisi dengan banyak kedai fesyen kasual dan perkakas rumah dengan harga yang amat murah. Jalan Takeshita-dori sepanjang 350 meter dipenuhi dengan kedai yang menjual perkakas rumah dan pakaian klasik. Kedai khusus untuk penggemar anime dan idola juga banyak ditemui di sini dan anak-anak muda kerap memenuhi kawasan ini pada waktu malam dan hari minggu. Pengunjung boleh mencuba untuk makan krepe sambal berjalan di sepanjang Takeshita-dori, dan aksi ini juga dikenali sebagai “stail Harajuku”. Ura Harajuku dan Cat Street juga merupakan tempat yang kaya dengan pelbagai kedai fesyen dan merupakan tempat yang harus dilawati oleh pelawat kaum hawa.
Di sebalik kesibukan dan kesesakan kawasan Harajuku, kuil Meiji Jingu merupakan sebuah kawasan yang aman dan dipenuhi dengan kehijauan di kawasan sekelilingnya. Kuil ini terkenal sebagai kuil yang mempunyai bilangan yang berkunjung untuk bersembahyang yang paling ramai di Jepun. Rimbunan hijau di dalam kawasan kuil ini seluas 700,000 meter persegi ini dipenuhi dengan lebih 100,000 batang pokok. Kunjungan ke Meiji Jingu pasti membolehkan pengunjung lari daripada hiruk-pikuk bandar besar, sebaliknya bersantai sambil berjalan-jalan dan menikmati udara yang nyaman di sini. Di samping itu, Taman Yoyogi yang terletak berdekatan juga merupakan satu taman dengan keluasan yang besar dan indah. Terdapat pelbagai acara seperti Hari Bumi, pasar antik, Festival Thai, Festival Vietnam dan sebagainya yang diatur di taman ini hampir setiap minggu.

*This information is from the time of this article's publication.
*Prices and options mentioned are subject to change.
*Unless stated otherwise, all prices include tax.

Kongsi artikel ini

Cari