Proses imigresen lebih lancar dengan persiapan rapi

Proses imigresen lebih lancar dengan persiapan rapi

Update: 25 Oktober 2016

Apabila ke luar negara, ramai yang akan berasa leceh dengan urusan imigresen. Walau bagaimanapun, anda dapat melalui proses imigresen dengan lancar sekiranya anda membuat persiapan rapi. Di sini akan diperkenalkan prosedur imigresen yang diperlukan oleh mereka yang datang ke Jepun dari luar negara.

Keadaan yang tidak memerlukan visa

Melancong dan berjumpa dengan keluarga dan sebagainya dalam tempoh 90 hari, yang tidak menghasilkan sebarang pendapatan adalah penginapan singkat. Mengenai visa, negara Jepun mengambil langkah pengecualian visa kepada 67 negara atau rantau. Tetapi anda memerlukan visa sekiranya anda melibatkan diri dengan aktiviti yang menghasilkan pendapatan atau anda bercadang untuk menetap di Jepun melebihi 90 hari. Ada kalanya, anda memerlukan pasport yang mengandungi data maklumat peribadi yang boleh dibaca dengan mesin, atau IC-pasport yang mengandungi bukan hanya maklumat peribadi tetapi juga gambar dan data biometrik. Oleh kerana pengaruh dari insiden pengganas, semua diwajibkan untuk menyerahkan maklumat pengenalan peribadi seperti cap jari dan gambar ketika orang dari luar negara memasuki ke Jepun.

Cara mendapatkan visa

Terdapat beberapa negara yang memerlukan visa meskipun untuk penginapan yang singkat. Untuk maklumat lanjut, sila lawati laman web rasmi Kedutaan Jepun negara masing - masing kerana dokumen yang diperlukan berbeza mengikut negara asal dan tujuannya. Jika orang yang bukan warga negara Jepun ingin memohon visa, dokumen utama untuk mendapatkan visa ialah pasport, borang permohonan dan gambar. Anda boleh membuat permohonan di kedutaan atau konsulat Jepun yang berdekatan, kemudian permohonan itu akan diproses. Setelah permohonan diluluskan, anda boleh mengambil pasport dan anda harus pergi ke Jepun dalam tempoh 3 bulan. Secara amnya hanya pemohon sendiri sahaja yang dapat membuat permohonan, namun ada permohonan boleh diwakilkan kepada agensi yang diiktiraf oleh kedutaan atau konsulat Jepun.

Jenis visa mengikut tujuan

Anda memerlukan visa yang berlainan mengikut tujuan, sekiranya anda ingin bekerja atau akan tinggal dalam tempoh yang panjang. Sila fahami dengan jelas tujuan anda untuk pergi ke Jepun. Mengikut negara, kadang-kadang cara permohonan diubah secara tiba-tiba, maka lebih baik anda memastikannya dengan kedutaan dan konsulat negara anda yang berada di Jepun. Kepada sesetengah negara, pasport diplomasi dan urusan kerajaan dikecualikan untuk memdapatkan visa. Orang yang menginap untuk tempoh yang panjang harus mendaftar dan membawa "kad zairyu (kad residen)" agar membuktikan hak untuk menginap di Jepun, maka sila pastikan anda membuat permohonan untuk mendapatkan visa.

Cara untuk masuk semula ke Jepun bagi mereka yang tinggal untuk tempoh yang lama

Sekiranya seseorang dari luar negara yang tinggal untuk tempoh jangka panjang di Jepun kerana belajar atau bekerja, ingin keluar dari Jepun lalu masuk semula ke Jepun, visanya dikecualikan. Untuk itu, anda perlu mendapat "Re-entry permit (permit kemasukan semula)" daripada Kementerian Keadilan (pejabat Imigresen) sebelum keluar dari Jepun. Anda perlu ingat bahawa permohonan tidak boleh dilakukan di kedutaan dan konsulat Jepun. Selain itu, setelah anda keluar dari Jepun selepas mendapat "Re-entry permit", lalu keadaan tidak mengizinkan anda untuk memasuki semula ke Jepun dalam tempoh yang ditetapkan, oleh sebab sakit atau sebagainya, anda perlu memohon "kebenaran perlanjutan tempoh bagi Re-entry permit" di kedutaan atau konsulat Jepun. Tempoh maksimum bagi Re-entry permit ialah 5 tahun.

Apakah itu 'Special Re-entry permit (permit istimewa kemasukan semula)'?

Seseorang dari luar negara yang tinggal untuk jangka masa panjang lalu keluar dari Jepun dan masuk semula dalam tempoh 1 tahun, tidak memerlukan "Re-entry permit". Ini dipanggil "Special Re-entry permit (permit istimewa kemasukan semula)". Jangan lupa untuk menanda di bahagian "saya akan masuk semula ke Jepun menggunakan "Special Re-entry permit (permit istimewa kemasukan semula)" di dalam kad residen ketika anda keluar dari Jepun. Setelah memasuki Jepun semula, kelayakan residen dan tempoh masa akan disambungkan, dan anda bebas daripada prosedur yang menyusahkan untuk masuk semula ke Jepun.

Prosedur masuk ke Jepun melalui imigresen

Ketika anda memasuki Jepun, anda harus melalui pemeriksaan di lapangan terbang atau pelabuhan untuk mendapatkan kebenaran pendaratan dengan mengemukakan dokumen yang diperlukan, pasport dan visa (jika perlu). Seseorang yang sakit atau menginap di kawasan wabak yang tersebar, harus diperiksa oleh pihak kuarantin sebelum pemeriksaan imigresen. Seterusnya anda akan melalui pemeriksaan imigresen. Jika perlu, anda akan diarahkan oleh pegawai imigresen supaya mengambil pemeriksaan kuarantin haiwan dan tanaman, kastam atau sebagainya. Barangan yang diperiksa oleh pihak kastam merangkumi bukan hanya barangan yang telah dibeli di luar negara, tetapi juga barangan yang diberi oleh kawan serta hadiah yang diterima. Selain itu, seseorang yang akan berada di Jepun untuk tempoh panjang, perlu mendapatkan kad residen. Kad residen boleh dikeluarkan oleh pihak imigresen ketika pemeriksaan kemasukan melalui lapangan terbang Haneda, Narita, Chubu dan Kansai, namun jika anda menggunakan lapangan terbang yang lain untuk memasuki Jepun, anda perlu menguruskannya di pejabat daerah tempatan berdekatan alamat anda di Jepun.

Apakah prosedur yang diperlukan untuk keluar dari Jepun?

Ketika anda keluar dari Jepun, anda memerlukan pemeriksaan imigresen di lapangan terbang atau pelabuhan. Prosedur ini bukanlah untuk menyekatkan tetapi untuk mengetahui orang dari luar negara yang keluar dari Jepun. Pada masa itu, sesiapa yang membawa dokumen seperti surat kebenaran masuk dan sebagainya untuk memasuki Jepun akan diminta mengembalikan dokumen tersebut, lalu kelayakan dan tempoh penginapan akan dihapuskan. Jika anda menerima re-entry permit (termasuk Special Re-entry permit (permit istimewa kemasukan semula)) dan keluar dari Jepun, anda dapat menyambung kelayakan dan tempoh untuk menginap di Jepun.

*Maklumat semasa artikel ditulis

Kongsi artikel ini